PURI & PENCICAH serta TIP

RESEPI MASAKAN MAMAK: PURI

Posted by: Mohammad Roslan on: Jun 17, 2012

    RESEPI PURI
    Salam, jangan terkejut dengan resepi,“PURI” atau “POORI” ini. Puri adalah makanan ringan yang berasal dari benua kecil India yang mempunyai sejarah kewujudan yang beribu tahun. Perkataan, “PURI” adalah berasal dari Perkataan Bahasa sanskrit purba, “Purikka”, yang bermaksud “mengisi”. Maka resepi puri ini adalah resepi yang telah berusia beribu tahun lamanya.
    Puri sebenarnya adalah makanan ringan yang paling popular waktu sarapan pagi atau pun minum petang paling digemari rakyat negara India, Nepal, Pakistan dan Bangladesh, begitu hebat resepi puri ini. Hidangan Puri adalah makanan dalam kategori roti (goreng) seperti roti Nan, capati atau Roti Prata (canai). Ia dijamu dengan berbagai gulai  atau pun sambal yang istimewa. Di negara Kita, sambal tumis ikan bilis atau pun sambal sardin boleh digunakan sebagai pencicah puri yang amat lazat. Tak perlulah ikut sangat resepi makanan India yang kebanyakan  ’ala vegetarian itu. Kalau makan bersama dengan kari daging cincang masak itam mamak penang yang pekat melekat lagi sedap. Puri di negara ini amat digemari oleh masyarakat keturunan India. Apa yang mamak haji perhatikan puri di restoren-restoren India di negara ini berbeza dengan puri di India. Puri di sini semasa panas  lembut, kembang dan gelembung tetapi bila sejuk ia keras, liat dan menjadi leper seperti roti canai, maka untuk menutup kelemahan dalam menyediakan masakan resepi ini, kebanyakan restoren India,  melembabkan puri supaya lembut dengan melapik dua keping puri diantara dua keping puri diletakan masakan kentang kurang pedas. Maka bentuk puri asal tidak lagi kelihatan. Ramai dari kalangan masyarakat India di negara ini kenal puri yang  yang telah di’sandwich’kan dengan sambal kentang.
    RESEPI MASAKAN INDIA: PURI
    Resepi ini paling ringkas dan menggunakan bahan masakan yang kosnya paling minima. Untuk peniaga ia memberi keuntungan yang tinggi. Sesiapa yang berminat meniaga di Bazar Ramdhan nanti boleh tambahkan sebagai menu tambahan atau sampingan dalam perniagaan Bazar ramdhan. Jangan lupa cuba dari sekarang mendapatkan resepi yang tepat untuk perniagaan.
    Bahan-Bahan yang diperlukan:
    • 2 cawan (cup) tepung gandum.
    • 2 sudu besar (tbsp) minyak masak.
    • 1/4 sudu kecil (tsp) garam.
    • 1 sudu kecil susu tepung (sekiranya anda ingin puri lembut dan berlemak).
    • 1/2 sudu kecil (tsp) gula.
    • Air suam Masukkan secukup untuk membuat doh.
    CARA-CARA MEMBUAT DOH:
    1.  Masukkan tepung gandum, tepung susu, garam dan gula dalam sebuah bekas. Adunkan semua bahan-bahan ini supaya rata.
    2. Masukan sedikit demi sedikit air suam dan uli tepung. Uli tepung sehingga anda mendapat doh seperti doh capati.
    3. Biarkan keseluruhan doh tersebut di selimuti kain yang lembab selama 20 minit.
    4. Bahagi-bahagikan doh itu beberapa bentuk bebola sama saiz yang berukuran sebiji buah lemon. (saiznya separuh dari saiz bebola roti canai atau capati. Titiskan beberapa   titis minyak masak atas papan peleper (supaya tidak melekat) dan leperkan bentuk bulat bulat yang tebalnya sama ketebalan roti capati. Sekiranya anda tidak mempunyai papan dan kayu peleper (roller), anda boleh uli di atas keratas plastik dengan menggunakan botol bulat yang berbalut dengan plastik. Kalau mampu, dapatkan sebuah set peleper doh tepung yang sangat berguna di dapur anda.
    5. Panaskan minyak dalam kuali dan mula goreng puri.Untuk gorengan yang terbaik sila baca tip-tip yang mamak haji berikan.
    TIP-TIP UNTUK MENYEDIAKAN PURI YANG TERBAIK:

    PURI YANG SEDIA UNTUK GORENG.
    Sebelum anda mula membuat puri, sila baca tip-tip mamak haji:
    1. Doh tepung puri yang telah diuli perlu diperam selama 20 minit disalut dengan kain lembab sebelum dikepingkan.
    2. Bila membuat kepingan puri jangan ditindeh satu sama lain. Gorengan puri perlu lakukan satu persatu. Meleperkan puri, gunakan sedikit minyak di atas permukaan papan peleper dari menggunakan tepung untuk mengelakan melekit dipemukaannya.
    3. Ini rahsia membuat puri yang lembut dan mengekalkan gelembung dalam keadaan panas dan sejuk. Semasa mengadunkan tepung gandum tambahkan 1 sudu besar tepung suji bersama dengan tepung gandum. Tepung suji kemampunan mengekalkan gelembung puri .
    4. Minyak gorengan puri perlu panas yang cukupsemasa gorengan. Minyak yang kurang panas akan menyerapkan minyak berlebihan dalam puri. Biasanya minyak panas perlu berada 375 F – 400F. Paras minyak dalam kuali perlu berada 3 inci untuk  puri mudah terapong.
    5. Selepas masukkan puri yang perlu digoreng, beri sedikit tekanan dengan sudip ke atas gelembung pertama yang dihasilkan, supaya gelumbung keseluruhan di perolehi dengan baik. Puri yang baik adalah lembut, begelumbung sempurna dan ringan.
    RESEPI ALU GOBI: PENCICAH PURI
    Bahan-Bahan:
    • Rebus 5-7   biji ubi kentang sederhana besar, rebus sehingga empuk. Buang air rebusan dan kopek kulit kentang. Potong dadu. Asingkan.
    • 1 biji bawang besar dihiris halus.
    • 2 biji cili hijau dihiris.
    • 2 biji tomato dipotong dadu.
    • 1 sudu kecil (tsp) biji jintan putih.
    • 2 sudu kecil (tsp) serbuk kunyit.
    • 1 sudu besar (tbsp) serbuk cili.
    • 2 sudu kecil (tsp) serbuk garam masala.
    • 1 sudu kecil (tsp) garam.
    • 3 sudu besar minyak masak.
    • 1 pokok ketumbar. Asingkan batang dan daun. Batang dan daun dihiris halus.
    • 1 sudu besar (tbsp) pes halia bawang putih.
    • 1 cawan kacang campur (frozen) sejuk beku. Direndam dalam air. Ditoskan.
    CARA MASAK:
    1. Panaskan kuali dan masukan minyak. Bila minyak panas masukan biji jintan putih dan bawang hiris. Bila warna bawang mula bertukar wanrna keperangan, masukkan batang ketumbar.  Sekiranya anda tidak menyukai bau ketumbar boleh gunakan batang dan daun pokok daun sup.
    2. Masukkan segera serbuk kunyit, serbuk cili dan garam.
    3. Masukkan pes halia bawang putih, dan sebatikan semua rempah menjadikan pes.
    4. Masukkan kacang campur dan gaul rata. Bila bau harummula dikeluarkan masukkan ubi kentang rebus dan sebatikan dengan perencah. Masukkan cili hijau an garam masala.  Masukkan tomato dan gaul rata. Masak dalam 2-3 minit saja. Aloo Gobi anda sudah siap.
    5. Tutup api dapur dan hidangkan dengan taburkan daun ketumbar yang telah sediakan. Jamulah dengan puri bersama dengan aloo gobi anda. Sekiranya anda tidak menyukai hidangan asli ini anda boleh juga jamu puri anda dengan sambal tumis ikan bils atau pun daging cincang. Bagi mamak haji ia lebih lazat dari menu vegetarian. Selamat mencuba.  Seperti biasa kalau ingin penjelasan lanjut mengenai resepi ini bolehlah e-mail mamak haji : mohd.roslan99@gmail.com. Wassalam.

    No comments:

    Post a Comment